Tuesday, November 14, 2006

Kawal kos perniagaan internet anda...

Untuk mendapatkan ilmu mengenai ICT sila lawari laman: http://guruict.wordpress.com



Hari ini saya ingin bercerita mengenai kepentingan mengawal perbelanjaan perniagaan internet kita. Ianya amat penting untuk memastikan semua yang kita buat tidak sia-sia dan mendatangkan hasil serta dapat memenuhkan poket kita....

Suka saya sarankan kepada anda yang baru berkecimpung di dalam dunia perniagaan internet ini, supaya memulakan perniagaan dengan kos yang paling minima. Cubalah cari idea ataupun cara untuk menjalankan perniagaan online anda tanpa perlu mengeluarkan modal yang terlalu banyak. Setelah anda mahir dan tahu tentang selok belok perniagaan yang anda lakukan maka anda bolehlah mengorak langkah seterusnya untuk mengembangkan perniagaan anda.

Janganlah terburu-buru untuk memulakan sesuatu perniagaan secara besar-besaran sedangkan kita tidak tahu reaksi ataupun respon orang ramai terjadap produk atau servis yang kita tawarkan. Ini dapat mengelakkan kerugian yang akhirnya membelenggu kehidupan anda.

Izinkan saya membawa anda untuk menghayati cerita ini untuk mendapat gambaran mengenai pentingnya mengawal kos perbelanjaan dalam perniagaan. Ceritanya lebih kurang begini...

Alkisah... di satu kota terdapat seorang insan yang ingin menjadi usahawan berjaya yang bernama Saipul (bukan nama sebenar). Beliau amat suka menceburi bidang perniagaan sejak dari bangku sekolah lagi. Oleh kerana semangat keusahawanan beliau meluap-luap, maka selepas habis persekolahannya dia merancang untuk membuka sebuah kedai makan. Maka Saipul mula memasang impian untuk bergelar jutawan kedai makan suatu hari nanti.

Bagi merealisasikan impiannya, Saipul mengambil langkah bijak dengan bekerja di sebuah gerai makan berhampiran tempat tinggalnya. Di kedai makan itu, beliau membuat semua kerja yang diamanahkan kepadanya. Disebabkan beliau ingin mencari pengalaman, maka dengan rela hati beliau menjalankan tugas hariannya, dari menyapu sampah, melayan pelanggan, mencuci pinggan, buat air, memasak dan tukang kira, semua dia sapu bersih. Pendek kata setelah 6 bulan beliau bekerja di warung tersebut, beliau dapat menguasai semua tugas dengan baik.

Saipul mula merasa teruja setelah beliau merasakan tidak susah untuk membuka sebuah kedai makan. Warung Pak Maon yang terletak di tepi longkang besar dekat pasar pekan X itu mampu mengaut keuntungan lebih dari RM15 ribu sebulan. Patutlah Pak Maon amat kaya dan tak hairanlah jika beliau mempunyai 3 orang isteri. "Aku tak boleh tunggu lagi, aku mesti jadi kaya jugak. Lagi kaya dari Pak Maon!!!" Itulah tekad budak Saipul ni.

Oleh sebab beliau ingin menjadi lebih kaya dari Pak Maon (Tauke warung buruk), Saipul ingin membuka sebuah kedai makan yang lebih besar. Beliau ingin membuka sebuah kedai makan yang cantik dihiasi pemandangan dan konsep-konsep yang unik. Pada tanggapan Saipul, jika warung Pak Maon yang dah nak runtuh tu mampu mengaut keuntungan RM 15 ribu sebulan, kalau dia buka sebuah kedai makan eksklusif pasti keuntungannya berlipat kali ganda. Untuk merealisasikan impiannya, beliau dengan tidak berlengah lagi terus meminjam geran tanah pusaka orang tuanya untuk digadaikan (nak buat modal). Beliau nak sewa kedai batu di bangunan baru yang berada di pekan X.

Dipendekkan cerita setelah semuanya siap maka kini Saipul telahpun bergelar usahawan. Ternyata dia berbangga di hadapan restoran eksklusifnya (Beliau melaburkan lebih dari separuh modalnya untuk menyewa lot kedai, ubahsuai, peralatan dan sebagainya). Beliau tidak sabar lagi untuk bergelar jutawan muda di pekan X....


6 bulan kemudian....

Malangnya setelah hampir 6 bulan dibuka, kedai makan beliau tidak mendapat sambutan yang diharapkan. Entah apa sebabnya pun Saipul tak tahu. Warung Pak Maon pula masih seperti biasa, masih dikunjungi orang ramai. Ini memang menyedihkan hati seorang usahawan muda ini kerana beliau tidak mampu lagi yntuk menampung kos operasi yang tinggi.

Kesimpulannya, Pada bulan berikutnya Saipul terpaksa menutup perniagaannya dan menanggung hutang serta cacian dan makian dari orang tuanya (geran tanah mereka lebur!!!).

OK... sekarang mari kita kaji apakah kesilapan Saipul. Sebenarnya terlalu banyak kesalahan yang dilakukannya. Diantara kesalahan yang dilakukannya adalah:

  • Saipul patut mencuba melakukan perniagaan secara kecil-kecilan dahulu.
  • Kaji dahulu kehendak pelanggan, apa yang mereka mahu
  • Saipul tidak mempunyai ilmu keusahawanan yang cukup untuk memulakan perniagaan secara besar-besaran. Beliau hanya mempunyai ilmu teknikal seperti bagaimana untuk mengurus sebuah warung sahaja.
  • Mungkin Saipul mempunyai sifat tamak yang akhirnya memakan dirinya sendiri. Pada anggapan beliau semakin besar joran yang di pakai, semakin besar ikan yang diperolehi tanpa mengira faktor lain untuk medapatkan ikan itu.

Begitulah alkisahnya. Saya harap anda mendapat iktibar dari cerita ini.

No comments: